Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 28
Perkembangan sosial media dengan
secara tidak langsung membawa balik zaman sebelum media di mana pelbagai
legenda bermula kerana cerita-cerita dan al-kisah yang telah bertukar wajah,
dimanipulasikan, di isi dengan cebisan maklumat yang bersifat 'kemungkinan' dan
selalunya tidak konkrit; dan seterusnya, melahirkan mitos yang membelah bahagi
rakyat – iaitu yang mempercayainya, yang tidak, dan yang tidak pasti.
Bina struktur berdasarkan fakta.
Maka, adalah menjadi
tanggungjawab pembuat filem dokumentari untuk mengesahkan naratif subjek
wawancara kita dengan penuh, tanpa ada kekosongan fakta sokongan atau "gap"
(jurang) dalam jalan cerita. Kadangkala kita juga boleh terpaksa sampaikan
kenyataan yang memang berkonflik: ada yang mengatakan bahawa ia tidak berlaku,
ada yang mengatakan bahawa ia berlaku.
Jadi, kita perlu ada pihak
ketiga: rujukan yang terbaik dan paling banyak tersedia. Walaupun tafsiran
tersebut tidak tepat, anda boleh cuba mendapatkan beberapa fakta, samada dari
segi terbitan-terbitan (buku, bahan-bahan arkib) dan juga pakar-pakar atau
golongan veteran di bidang tersebut (seperti polis, tentera).
Ingat jangan terperangkap dengan
ego anda. Jika kita tidak mempunyai naratif dengan fakta dan bukti-bukti,
anekdot yang tidak kuat, kita boleh sesat – dan seterusnya mengelirukan
penonton pula. Seperti yang dinyatakan oleh pengarah dan penulis filem
dokumentari, Ken Burns (kita terus melihat catatannya disini), “Kemudian anda
akan meneka. Anda akan bertengkar. Anda masuk ke dalam teori. Anda akan masuk dalam
konspirasi. Ke situlah ia akan membawa anda.”
Penggunaan sudut pandangan
naratif berbeza
Mengikut Ken, sebagai pencerita
atau pengarang “orang ketiga” (third person) kita beroperasi hampir
dalam sfera objektif, menerangkan apa yang berlaku. Suara orang pertama
mempunyai sejenis keintiman yang mengatakan bahawa peristiwa itu benar-bernar
berlaku, atau berlaku kepada orang yang sebenar, yang pernah wujud.
Oleh itu, kekuatan kita sebagai
penulis skrip adalah dalam menggabungkan kedua-dua naratif ini, dan
persembahkan cerita atau kisah yang, mungkin tidak lengkap dan 100% betul,
tetapi memadai untuk mencetuskan lebih lagi perbincangan.
Kata-kata tidak terukir atas batu
Tajuk ini saya terjemah secara
langsung daripada ungkapan “words are not set in stone”. Mengikut Ken,
melalui pengalamannya, dia membenarkan penulis-penulisnya menulis kesemua yang
mereka rasa perlu ada di dalam skrip. “penulis tidak perlu risau samada mereka
ada imej untuk digambarkan. Itu bukan kerja penulis”.
Tugas penulis, katanya, adalah
untuk menulis adegan tersebut, apa yang perlu muncul di skrin. Sebagai pengarah
yang menerima hasil tulisan, Ken selalu melihat skrip-skripnya melalui pelbagai
perubahan dan penulisan draf baru ketika berlakunya proses suntingan.
“Anda membaca kata-kata penulis,
kemudian menukar beberapa perkataan, kemudian serahkan kepada beberapa ahli
sejarah, lalu mereka akan memberikan beberapa nota. Kemudian anda menulis
semula, dan buat perkongsian yang lebih meluas,” katanya.
Namun, semasa rakaman juga, perubahan,
penambahan dan pemotongan dalam skrip berlaku kerana, seperti apa yang saya
nampak, perkara yang ditulis tidak akan kedengaran errr.. cantik, atau memberi
kesan/impak yang diingini seperti yang kita fikir ketika menulis.
Ketiadaan fakta dan penggunaan
bahasa.
Kita perlu memberitahu penonton
bab-bab peristiwa yang telah disahkan oleh pihak-pihak berkuasa atau
bertanggungjawab. Tetapi kesemua ini memerlukan pelbagai jenis maklumat
daripada masa yang lepas. Semakin jauh masa dan zaman itu, semakin susah untuk
kita mencari bukti-bukti dan fakta yang boleh menyokong sesuatu insiden, teori
atau kisah di sebalik kesemua ini.
Oleh ini, disini, Ken
mengesyorkan penggunaan bahasa yang sesuai yang menunjukan kemungkinan besar,
dan bukti-bukti sampingan yang boleh memberi jaminan yang insiden, peristiwa
tertentu itu telah berlaku dan teori-teori yang dibincang mempunyai banyak
sokongan.
Jadi, daripada kita menulis
"mereka melakukan ini atau mereka melakukan itu." Kita boleh menulis,
"Ketika itu dia mungkin telah mencari", "Keadaan pada masa itu
selalunya dikatakan agak genting..." Ini, katanya, boleh memberi ruang
untuk perkara tersebut disangkal jika penonton tidak puas dengan penyampaiannya
tetapi kita tidaklah salah terus dalam apa yang kita persembahkan.
Seperti yang dinyatakan di atas, kita cuba sedaya upaya untuk elak daripada ‘pemanipulasian’ minda penonton-penonton dengan cubaan memaksa muat maklumat yang setengah masak (half boiled facts and figures). Jika sesuatu perlu dinyatakan, ditulis, tetapi ianya tidak begitu konkrit, kita perlu memberitahu penonton bahawa, ya, ianya memang penting, tetapi sehingga kini, inilah bukti-bukti penting yang telah dikemukakan dan kepentingan disini adalah insiden atau peristiwa yang telah berlaku dan bagaimana ianya telah memberi impak kepada sejarah kawasan, negara atau dunia.
Bahagian 27: Naratif dan impak
Bahagian 29: Wawancara dan persediaan
Comments
Post a Comment