Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 29
Wawancara dan persiapan
Damon Weaver, penemuramah termuda bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. |
Penafian: Saya
akan gunakan terma “temu bual” dan “wawancara” mungkin secara bergantian (interchangeably),
maksudnya lebih kurang seakan-akan… kalau ada yang protes, sila hubungi saya. Saya
masih mahu menggunakan panduan
daripada Ken Burns dan gabungkan pengalaman saya sendiri dalam bahagian ini dan
seterusnya.
Penafian 2: Ini hanya
untuk penulis skrip yang juga bertanggungjawab atas kaji selidik. Tetapi,
penulis skrip cerita fiksyen juga masih perlu melakukan kaji selidik...kan?
Kita sambung
sedikit isu kaji selidik, tetapi kini dengan persiapan sebelum kita merakam
wawancara dengan tetamu atau personaliti yang akan muncul dalam rancangan
dokumentari atau majalah yang dalam proses skrip.
Mulakan secara
umum
“Pembuat filem
dokumentari selalunya bermula dengan soalan yang agak umum dan terbuka dalam
usaha untuk mendapatkan subjek mereka menjawab soalan dengan lebih bernas,’
kata Burns. Seperti mana-mana pertemuan, kita mula dengan “small talk”,
bual-bual kosong, supaya subjek kita selesa sedikit dahulu sebelum mereka
serius menjawab soalan-soalan lain.
Kita boleh
berbincang latar belakang subjek itu sendiri, dan semestinya dari situ subjek
akan menyentuh isu-isu yang menjadi tema projek, tetapi kita tidaklah perlu
terus memulakan soalan-soalan bercorak interogatif - mereka akan tergamam
atau, mungkin terus membisu. “Bermula dengan soalan temu bual yang luas ini
selalunya boleh membawa kepada jawapan yang lebih kompleks dan bernuansa (lebih
halus daripada isu atau makna sebenar) sebaik sahaja anda mula bercakap tentang
topik wawancara tersebut,” kata Burns.
Disini saya
berterima kasih kepada pengalaman saya sendiri di bidang media sebelum ini,
kerana saya melalui pelbagai platform (bercetak, elektronik dan atas talian)
untuk TV, majalah, suratkhabar menulis untuk lain-lain jenis pembaca. Ini
menyediakan saya untuk membuat warm-up sebelum sesi wawancara di program
tesebut.
Kekalkan fleksibiliti
Apabila perbualan
dan perbincangan sudah mula rancak atau bercabang, kita perlu kekalkan
fleksibiliti di mana subjek anda berhak untuk menjawab atau memberi maklumat
yang tidak berkaitan dengan soalan anda. Ingat, walaupun nampak seperti ianya
membuang masa, persekitaran, tujuan dan kehadiran kita di depan mereka akan
secara tidak langsung membawa balik perbincangan ke trek asal.
Dan, janganlah
terlalu tegar dengan soalan-soalan anda. Soalan yang sama boleh ditanya balik
dengan cara yang lain. Dalam rancangan Skup Jurnalis, masalah saya adalah
peranan saya sendiri sebagai wartawan program tersebut, menemuramah wartawan-wartawan
pula. Ianya agak unik sedikit, saya sendiri rasa tidak pasti – apa yang boleh
saya tanya mereka dari latar belakang saya sendiri? Tetapi, selagi mereka
adalah sumber maklumat bagi skrip yang perlu saya sediakan, saya terus sahaja
dengan perbincangan dan soalan-soalan yang membantu saya dalam kerja-kerja
tesebut.
Jika pada kali
pertama, soalan “kenapa anda tidak membuat liputan mengenai insiden tersebut”
tidak dijawab, kita boleh tanya balik, “pada masa insiden berlaku apakah fokus
liputan anda ketika itu”.
Kekalkan minat,
dan tumpuan tamu anda kepada subjek dan tema yang dibincangkan. Jika subjek
anda sudah mula tidak selesa dengan perkara itu atau tidak dapat menjawab
soalan, teruskan ke soalan anda yang seterusnya dan lakukan bulatan kembali ke
soalan awal dan seterusnya. “Matlamatnya,” mengikut Burns, “ adalah bukan untuk
menyemak senarai soalan yang telah dirancang, tetapi untuk mewujudkan keadaan
yang sesuai untuk mendapatkan jawapan yang hebat dan memastikan subjek anda
terlibat (dengan sesi tersebut).
Elakkan soalan
ya-atau-tidak.
Ini bukan sesi
mahkamah, dan anda tidak perlu menujukan soalan yang hanya memerlukan mereka
jawapan ya atau tidak. Kita perlukan jawapan atau repon yang terus daripada
pengalaman dan pemikiran mereka yang telus, dan tidak berprejudis.
Soalan interogatif
yang memerlukan jawapan “ya” atau “tidak” selalunya membuat mereka tidak selesa
dan mereka akan membentuk jawapan mereka agar respon tersebut sesuai dengan
agenda kita pula – kita akan dapat apa yang kita mahu, tetapi ianya tidaklah
jujur atau tepat.
Burns beri satu
contoh berguna seperti, daripada bertanya "adakah anda membesar di New
York?" anda boleh bertanya, "bagaimana rasanya membesar di New
York?"
Jangan ada
prasangka/andaian awal
Mengikut Burns, jika
barisan soalan kita tidak ke mana, jika kita masih lagi tidak mendapat respon
yang diharapkan, ini mungkin disebabkan kita terlalu dipandu oleh prasangka
atau andaian mengenai apa yang boleh kita dapatkan daripada subjek kita. Di
sini, kita kena mundur selangkah.
“Dengar apa yang
subjek anda benar-benar ingin bincangkan, dan kemudian berimprovisasi (tanya
soalan secara spontan),” katanya.
Selalunya ia
berlaku disebabkan kita tidak mempunyai latar belakang yang mencukupi mengenai tetamu/personaliti,
atau kurang mengenali kerja-kerja mereka yang perlu dibincangkan dalam
rancangan tersebut.
Walaupun kita
sudah tahu apa yang perlu ditanya daripada subjek kita berdasarkan kerjaya, latar
belakang dan penglibatan mereka dengan subjek dibincangkan, kita tidak harus
menghadkan soalan kita dengan apa yang kita tahu tentang mereka.
Kadang-kadang
kita belum tahu lagi apa yang boleh dikongsikan oleh mereka, yang mungkin akan
tidak berguna untuk episod tetapi untuk subjek lain di episod akan datang, atau
projek-projek lain
Ingat, walaupun
kita tidak mahu bazirkan peluang temu bual dengan perbincangan yang tidak kena
mengena, pada masa yang sama kita akan mungkin lihat sesuatu perkara/isu/anekdot
yang muncul dalam perbualan yang mungkin berguna pada masa hadapan. Maka, kita
boleh menggunakannya bila tiba masa untuk
kandungan-kandungan yang berkaitan dan memanggil mereka balik untuk
perbincangan selanjutnya.
Tetamu kita pun
akan rasa bersemangat dan ingin bekerjasama dengan kita pada masa akan datang,
dan boleh mengenalkan kita kepada personaliti-personaliti lain, dan kita boleh meluaskan
rangkaian perhubungan kita.
Bahagian 28: Pengendalian Subjek Yang Tidak Lengkap
Bahagian 30: Persediaan di sebelah pagar
Comments
Post a Comment