Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 12

 


Kebanyakan penulis skrip rancangan dokumentari dan majalah selalunya juga adalah golongan pengkaji selidik. Mungkin mereka mempunyai penolong atau, bagi projek yang besar, sekumpulan penyelidik. Dan mereka - dalam perhubungan perantaraan menyediakan skrip dan “mencerahkan” penonton dengan pengetahuan baru - perlulah sentiasa berada di hadapan dengan fakta-fakta dan maklumat sampingan yang sedia ada untuk digunakan bila-bila masa.

Kian hari, penonton-penonton filem dan TV sudah lebih arif dengan pengetahuan mengenai dunia di sekeliling mereka dan juga luar zon selesa mereka. Terutamanya pada zaman ini, mereka mempunyai akses kepada informasi dan pelbagai trivia di tapak tangan mereka.

Oleh itu, walaupun kita sudah mempunyai pelbagai bahan-bahan rakaman, gambar-gambar hasil kaji selidik untuk episod yang sedang diterbitkan, adakah ianya cukup untuk sebagai pendedahan untuk penonton? Yang penting, sanggupkah mereka menerima segala bahan yang dipaparkan sebagai penyokong cerita yang ingin kita sampaikan dalam rancangan tersebut?

Ingat, cereka dalam filem berbentuk fiksyen juga perlukan pelbagai insiden, bukti dan situasi untuk menyokong kemahuan mereka dalam membentuk sesuatu watak untuk fahaman penonton. Penonton perlu percayai watak tersebut sebagai “real”, benar', dan ini hanya boleh dicapai dengan sokongan kesemua faktor-faktor itu.

Sebagai penulis, kita perlu sering peka dengan sejarah secara umum. Setiap perkara, barangan, emosi, mempunyai sejarahnya tersendiri. Dengan pengetahuan sejarah-sejarah ini, kita boleh menulis dengan mudah, dengan lebih keyakinan. Dan keyakinan ini perlu timbul dalam penulisan, baru penonton akan menerima apa  yang kita mahu nyatakan dengan fikiran terbuka.

Masalah informasi tidak lengkap

Seperti yang saya nyatakan dalam catatan sebelum ini, bahan-bahan kaji selidik untuk episod berkenaan dengan Skandal Watergate* berlimpahan sehingga saya terpaksa mengambil masa untuk mengambil apa yang sesuai.

Bagaimana pula dengan subjek-subjek di mana bahan-bahan sokongan sukar untuk dicari? Malah, saya menghadapi masalah tersebut di mana terdapat beberapa kes yang saya paparkan dalam rancangan tersebut tidak banyak maklumat latar belakang yang dapat diperolehi.

Dalam negara, kita boleh menghubungi sesiapa yang mungkin mempunyai pengetahuan atau bahan-bahan berkaitan mengenai subjek tersebut. Tetapi, melainkan mereka muncul sendiri dalam episod tersebut untuk mengesahkan fakta-fakta, kita perlukan bukti-bukti yang lebih kukuh - lebih-lebih lagi bagi subjek luar negara.

Dan ini yang kita buat untuk episod berkenaan dengan penyamun Veerappan di India, dimana kita berjaya mendapatkan wartawan, R. Gopal, yang menemu ramah penjenayah tersebut untuk berkongsi pengalaman mengenai pertemuannya dan ianya cukup bagi penonton untuk menentukan kesahihan kesemua fakta-fakta yang dikemukakan dalam rancangan tersebut.

Pengukuhan dengan bukti

Namun, kita tidak akan dapat nasib yang sama di mana mereka yang terlibat boleh di bawa masuk untuk memberi penerangan. Kita boleh melihat persekitaran insiden-insiden atau subjek yang hendak dibincangkan, kerana latar belakang juga memainkan peranan penting.

Jika kita lihat Skandal Watergate itu sendiri, kita boleh berbincang sedikit mengenai rakyat Amerika Syarikat ketika itu (tahun 70as) yang sudah “menyampah” dengan kepemimpinan Presiden Nixon kerana pelbagai masalah seperti perang Vietnam dan kenaikan harga minyak dan sebagainya.

Ini menyebabkan mereka sanggup menerima hasil penyiasatan wartawan Washington Post yang melakarkan beberapa watak-watak di tahap kepimpinan sebagai penjenayah. Ini boleh dibincangkan kerana ianya membantu mengetengahkan keberkesanan penyiasatan wartawan tersebut.

Kita juga membincangkan sedikit tentang sejarah kewartawanan penyiasatan di Amerika Syarikat sebelum ini, di mana pernah wujud insiden-insiden dan skandal-skandal yang dibongkar, tetapi inilah kes terbesar yang di negara tersebut yang disiasat oleh media – dan penambahan fakta-fakta berkenaan dengan media negara tersebut adalah berpatutan.

Kita juga boleh membincangkan kesan-kesan daripada insiden, atau impak subjek-subjek yang dibincangkan secara meluas.  Kita boleh beri banyak latar belakang tetapi janganlah keterlaluan sehingga lari daripada fokus cerita yang hendak disampaikan.

Kesemua ini akan memberi kepentingan kepada perkara yang ingin kita bincangkan dalam dokumentari atau episod rancangan majalah. Ini menambahkan lagi pengetahuan penonton tanpa mereka meninggalkan ruang tamu, atau buat semakan. Tetapi ingat selalu, penonton-penonton bukanlah kurang bijak, tetapi, suka dimanjakan dengan maklumat tambahan - terutamanya di zaman Big Data ini.

*Skup Jurnalis yang diterbitkan untuk RTM.

Bahagian 11: Penyediaan Treatment

Bahagian 13: Kerjarumah sebelum wawancara

Comments

Popular Posts