Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 13


Perkara yang perlu diingat sebelum sesi wawancara

(Perbincangan ini untuk penulis skrip yang juga melakukan kaji selidik serta menemu ramah tetamu yang bakal muncul di hadapan skrin kelak). Dan ianya perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali. Setelah mereka bersetuju untuk mengambil bahagian, kita perlu menanya mereka tentang diri mereka sendiri, pengalaman dan pengetahuan mereka... ianya boleh dilakukan dengan spontan.

Kali ke dua, dan yang penting, adalah apabila mereka menghadapi kamera. Ingat, dalam setiap produksi, setiap minit adalah kos bagi penerbit. Kita tidak boleh membazirkan masa. Biarkan pengarah dan petugas teknikal lain mengambil masa mereka, itu masalah mereka, tanggungjawab kru dan pengarah.

Tetapi, apabila mereka sudah sedia membuat penggambaran, kita perlu ada soalan-soalan (atau diberikan kepada hos bagi program yang mempunyai juruacara) yang boleh dijawab dengan spontan oleh tetamu.

Buat Kerjarumah

Do your homework!” Selalunya, kerja rumah diberi setelah kita mendapat maklumat (atau pelajaran)

Kita memilih tetamu mengikut tema, subjek, dan kepakaran yang diperlukan untuk episod rancangan tersebut. Sebagai contoh, untuk episod Skandal Watergate (perletakan jawatan Presiden Richard Nixon), kita tidak boleh mendapatkan mereka daripada Amerika Syarikat, jadi kita menggunakan pakar-pakar yang ada di negara kita.

Pada masa yang sama, kita masih boleh menemu ramah mereka yang tidak tahu sangat mengenai insiden tersebut, tetapi disebabkan peristiwa itu bermula daripada media, dengan wartawan memainkan peranan penting, kita boleh menanya soalan mengenai kerja wartawan, proses pemikiran yang terlibat dalam tugasan mereka, perkara-perkara yang mencetus insiden seperti ini (dan contoh-contoh skandal yang pernah diliputi atau disiasat oleh wartawan tempatan ini).

Untuk mereka, kita boleh sediakan soalan-soalan yang umum, dan kita boleh mengambil tahu daripada mereka mengenai perkara yang ingin mereka ceritakan yang berkaitan dengan episod yang mereka ambil bahagian.

Biarkan mereka selesa dahulu

Perkara ini memang lazim bagi mana-mana pertemuan kali pertama. Tetapi sebagai penulis, kita mempunyai imej yang berlainan sedikit. Penulis skrip juga adalah wartawan yang mencari kebenaran, dan selalunya kita juga perlu tegas dan serius dalam proses menjalankan tugas kita.

Inilah yang membantu kita untuk mendapatkan fakta-fakta yang betul, tulus dan boleh dikongsi bersama pembaca atau penonton. Kebanyakan sidang media adalah bertujuan untuk mempromosikan hos tersebut – sidang media polis juga adalah untuk memberitahu tentang kejayaan dan kekuatan polis, walaupun mereka meminta bantuan media untuk menyebarkan peringatan atau pengumuman.

Namun, kita tidak boleh membawa perangai/sikap yang sama di sidang media ke meja kopi ketika bersama bakal tetamu kita. Mereka perlu berasa bahawa sumbangan mereka adalah amat berharga untuk rancangan tersebut... dan ianya memang betul. Tanpa mereka, kita tidak mempunyai apa-apa program, kandungan (content) rancangan tersebut tidaklah konkrit, dan seperti yang disebut di perkongsian sebelum ini, mereka boleh membantu jika kita tidak mempunyai bukti-bukti kukuh untuk sesuatu kenyataan.

Kita boleh bersembang dengan mereka dahulu, mengenai perkara biasa dan kemudian setelah mereka nampak selesa (dan mesra, ini penting), kita boleh memulakan soalan-soalan.

Teknik Menyoal

Sebenarnya tiadalah teknik-teknik yang begitu berkesan, melainkan kita menjadi pakar soal siasat. Satu teknik tidak boleh digunakan kepada semua. Ada yang cepat berkongsi kesemua pendapat dan pengalaman mereka. Ada yang kita terpaksa gunakan desakan yang sesuai.

Memandang bahawa kebanyakan mereka terpaksa didesak, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak begitu selesa membuka fikiran dan meluahkan pendapat di hadapan kamera, kita kena berbual, berbincang dan membawa mereka ke subjek yang perlu disoal.

Di sinilah kita perlu melihat rancangan bual bicara (talk show) dan perhatikan bagaimana hos melibatkan tetamu mereka dalam perbincangan dan perbualan. Bagi tetamu yang tidak begitu mesra, hos tersebut masih boleh menarik minat mereka dengan berbual tentang perkara yang tetamu tersebut sendiri minati.

Jika boleh, jangan terlalu “direct” melainkan diberi kebenaran oleh tetamu tersebut. Soalan-soalan boleh bermula daripada yang remeh, dan nampak tidak penting. Tetapi kita boleh dapatan momentum dengan aliran soalan-soalan yang berterusan dan, setelah mendapat apa-apa respons yang berkaitan, dan, yang positif daripada tetamu tersebut.

Mereka bersedia

Pada tahap ini, anda sebagai penulis skrip dan/atau penemu ramah dapat bersiap sedia serta membantu tetamu anda menyediakan diri pula untuk sesi penggambaran nanti. Mereka tidak akan gagap atau terlupa fakta-fakta, dan boleh menjawab soalan yang sudah pun dijangka.

Mereka perlu memberi maklumat baru dan juga fakta-fakta yang akan menyokong skrip anda dan ianya membantu jika anda - sebagai penyelidik dan penulis skrip-  dan mereka yang diwawancara mempunyai apa yang diperlukan untuk persediaan skrip terakhir yang konkrit dan tidak boleh dipertikaikan.

Bahagian 12: Ketidaklengkapan informasi

Bahagian 14: Fokus dan sudut penyampaian

Comments

Popular Posts