Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 33

6 Jenis Dokumentari: Puisi, Refleksif dan Performatif, (+1)


Kita sambung penerangan daripada bahagian 32 dan lihat tiga lagi jenis dokumentari, iaitu Puitis (poetic), Performatif (performative) dan refleksif (reflexive). Saya mengambil definisi dan contoh-contoh daripada beberapa laman dan akan link-kannya di tempat-tempat tertentu. 

Puitis/Puisi (Poetic)

Mengikut pengarah filem dokumentari terkenal, Ken Burns, kebanyakan dokumentari memberitahu penonton mereka tentang topik atau memujuk mereka untuk mempercayai kebenaran tertentu.  

“Sesetengah pembuat filem dokumentari melakukan ini melalui penceritaan melalui rakaman, sesetengahnya menggunakan gaya pawagam vérité (cinema vérité*), dan yang lain mengambil pendekatan peribadi dengan memasukkan diri mereka ke dalam naratif filem itu. Pengarah lain membuat dokumentari puitis, yang mengambil pendekatan yang lebih bereksperimen, menganyam imej dan muzik untuk mencipta pengalaman emosi tertentu,” kata Burns. 

Dokumentari ini sudah mula wujud pada tahun 1920an dan filem-filem tersebut tertumpu kepada pengalaman, imej dan mempersembahkan dunia yang dilihat kepada penonton melalui pandangan yang berbeze (mengikut pembikin filem). Ianya abstrak, tidak begitu terikat kepada naratif dan dokumentari puitis ini selalunya tidak konvensional dan pengarahnya selalu bereksperimen dengan bentuk dan kandungan. Matlamat utama di sini adalah untuk pencetusan emosi, bukan untuk memberitakan kebenaran. 

Mengikut catatan blog di sini, dokumentari jenis puitis ini muncul sebagai tindak balas terhadap kandungan dan juga tatabahasa (format dan lain-lain) filem-filem jenis fiksyen awal. “(Dokumentari jenis puitis) beralih daripada penyuntingan berkesinambungan dan sebaliknya menyusun imej dunia material melalui perkaitan dan corak, baik dari segi masa dan ruang,” kata penulis tersebut. 

Contoh-contoh filem dokumentari puitis: Coal Face (arahan Alberto Cavalcanti, 1935), Fata Morgana (arahan Werner Herson, 1971), Tongues Untied (Marlon Riggs, 1989), Welt Spiegel Kino (Gustav Deutsch, 2005).

Reflektif (Reflective)

Dokumentari reflektif adalah lebih kurang sama dengan dokumentari penyertaan kerana mereka sering menyertakan pembikin filem itu sendiri dalam dokumentari tersebut. Walau bagaimanapun, tidak seperti penyertaan, kebanyakan pembikin filem dokumentari reflektif tidak mencuba untuk meneroka subjek luar. Sebaliknya, mereka hanya memberi tumpuan kepada diri mereka sendiri dan proses pembikinan filem itu. 

Dokumentari reflektif mengemukakan soalan dan mendekati topik dengan ketidakpastian, mempersembahkan versi kebenaran dalam format bukan fiksyen. Ia tidak cuba mencetuskan tindak balas emosi yang kuat daripada penonton tetapi menggalakkan pemikiran, pertimbangan mengenai isi kandungannya. 

Dokumentari reflektif juga selalunya akan menunjukkan kamera atau kru produksi untuk menarik perhatian penonton juga kepada konvensyen pembikinan filem, dan membuat persembahan tanpa kesedaran diri supaya tidak ada perasaan berat sebelah tentang kandungan atau agenda filem. Antara filem-filem dalam kategori ini adalah: 

Man With a Movie Camera (Dziga Vertov, 1929), Chronicle of a Summer (Jean Rouch and Edgar Morin, 1961), Weird Weekends (Louis Therous, 1998) Land Without Bread (Louis Bunuel, 1933); Surname Viet Given Name Nam (Trinh T. Minh-ha, 1989); David Holzman’s Diary (Jim McBride & L.M. Kit Carson, 1968); dan Wedding Camels (David & Judith MacDougall, 1980)

Perfomatif (performative)

Definisi Ken Burns untuk filem dokumentari performatif adalah seperti berikut:

“Filem dokumentari performatif tertumpu dalam penglibatan pembuat filem dengan subjeknya, menggunakan pengalaman peribadi atau hubungannya dengan subjek sebagai titik lonjakan untuk meneroka kebenaran subjektif yang lebih besar tentang politik, sejarah atau personaliti-personaliti”.

Di catatan blog Alex Burton dokumentari jenis ini adalah sangat peribadi, tidak konvensional, mungkin serupa sedikit dengan dokumentari jenis puitis dan/atau bereksperimen, dan mungkin termasuk lakun semula hipotesis peristiwa yang direka untuk membuatkan “kita mengalami bagaimana rasanya jika kita memiliki perspektif khusus tertentu tentang dunia yang bukan milik kita”. 

Tekanan di sini adalah bagaimana lainnya dunia yang dipamerkan melalui dokumentari tersebut, dan di sini, naratif daripada pembikin filem adalah penting kerana ia datang daripada perasaannya sendiri dengan pemerhatiannya yang unik, ditapis oleh latar belakangnya sendiri. 

Contoh – contoh dokumentari performatif:

Tongues Untied (Marlon Riggs,1989), The Selling of a Serial Killer (Aileen Wuornos, 1994), Supersize Me (Morgan Spurlock, 2004), The Thin Blue Line (Errol Morrisdan, 1988) dan  Fahrenheit 9/11 (Michael Moore 2004).

+1 Penyertaan (Participatory)

Dokumentari jenis ini adalah seakan-akan jenis performatif dengan satu perbezaan ketara: “...penyertaan melibatkan pembuat filem untuk cerita tetapi cuba untuk membina kebenaran yang harus jelas kepada sesiapa sahaja, jenis performatif melibatkan pembuat filem untuk cerita dan untuk membina kebenaran subjektif yang penting kepada pembuat filem ...”.

Dalam bentuk dokumentari jenis ini, pembikin filem mungkin muncul di hadapan kamera semasa temu bual, didengari sebagai suara latar di belakang kamera, malah boleh muncul pada kamera tanpa sebarang subjek lain. Dan, kesan kehadiran pengarah atau pengarang utama cerita tersebut kadang-kadang adalah minimum, dan jika mempunyai personaliti yang kuat, yang mungkin kontroversial, maka ianya boleh memberi pengaruh besar pada naratif. 

Disini, pengarah itu sendiri menjadi satu “watak” dalam filemnya, dan selalu kelihatan dalam kebanyakan adegan (selalunya  berfungsi seperti wartawan). Inilah sebabnya dalam dokumentari ini, soalan-soalan yang selalunya di sunting keluar dalam dokumentari lain, kini di sertakan untuk menunjukan situasi berlakunya wawanara itu, perhubungan satu sama lain antara pengarah dan sesiapa yang dibawa bicara serta kepentingan subjek yang dibincangkan diantara mereka. 

Oleh itu, disini kita sebagai penonton menjadi teman sekutu pengarah filem tersebut, mengikutinya kemana dia mahu membawa kita semua dan kita mempercayainya. Tetapi, itu terpulang kepada kebolehan pengarah tersebut dalam “memujuk” kita untuk menyertainya dan bersetuju dengan pendapat dan reaksinya. 

 ---

Jadi, mungkin ada banyak lagi jenis-jenis dokumentari, seperti propaganda yang termasuk dalam satu daripada kategori yang dibincangkan ini (propaganda selalunya dalam jenis documentari pemerhatian), dan kita akan lihat penggunaan dokumentari sebagai alat untuk banyak kegunaan ke atas masyarakat dalam bahagian yang akan datang. 

* Cinema verite, secara penterjemahan langsung adalah "pawagam yang benar," iaitu cara menayangkan cerita di skrin. Ia adalah gaya pembikinan filem yang dicirikan oleh realisme - paling kerap dikaitkan dengan dokumentari, tanpa apa-apa hiasan, perkara yang tidak realistik atau artistik.

Bahagian 32: 6 Jenis Dokumentari 1: Ekspositori, Pemerhatian dan Interaktif

Bahagian 34: Dokumentari Expositori: Propaganda Dan Politik

Comments

Popular Posts