Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 22

Sintaksis, artikulasi dan gaya

Mari kita berbincang perkara yang teknikal sedikit kali ini dan biasanya perkara yang dibentarkan disini bukanlah sesuatu yang boleh dihafal seperti sifir atau formula dan digunakan pada masa-masa tertentu. Pembacaan yang kerap, dan melalui penontonan dokumentari-dokumentari dan program majalah, dan juga pengamatan naratif melalui suara latar atau hos, akan memberi kita kefahaman mengenai kepentingan sintaksis, artikulasi dan gaya. Apa benda alah semua ni?

Sintaksis

Perkataan ini datang daripada bahasa Yunani, bermaksud "mengatur bersama", dan definisi alternatif, “penyatuan beberapa perkara bersama-sama”. Tak faham
? Definisi yang lebih senang: Ianya adalah “...peraturan yang mengajar kita cara meletakkan kata-kata bersama untuk membentuk ayat-ayat yang bermaksud, ringkasnya, membuat ayat-ayat...”. Lagi tak faham, cari Mahaguru kat gua... okay, tersimpang sedikit, maaf ya.

Jadi, kita tahu bahawa pembinaan ayat dalam skrip tidaklah seperti penulisan rencana, tetapi mungkin lebih dekat kepada berita. 

Dalam dokumentari dan program majalah, kita akan melihat imej dalam pergerakan. Penyuntingan zaman sekarang adalah pantas, imej yang sama tidak akan berlama-lama di skrin, ianya akan berubah. Dan begitu juga naratif latar belakang kita yang terpaksa menceritakan sesuatu yang baru.

Dan, setiap ayat yang ditulis dan disuarakan mesti mempunyai subjek yang dibincangkan dan juga predikat, iaitu apa yang tengah dilakukan. Saya faham, kita sedang berbalik kepada pendidikan tatabahasa zaman sekolah, tetapi inilah yang boleh menolong mengelakkan banyak kekeliruan.

Ini adalah amat, amat penting bagi proses penulisan skrip kerana kita menghimpit dan menyampaikan seberapa banyak maklumat yang kita boleh dalam masa yang singkat. 

Artikulasi

Maksud utama artikulasi adalah lebih kepada proses menyebut dan bunyi... tetapi dalam penggunaan ayat, ianya adalah mengenai penyataan idea dengan jelas dan berkesan dalam pertuturan atau, untuk penulis-penulis seperti kita, penulisan itu sendiri. Disebabkan artikulasi ini adalah terus berkenaan dengan kemahiran pertuturan, ianya amat penting dalam penulisan kita kerana ianya adalah untuk telinga penonton. jadi penulisan kita mesti mempunyai sifat-sifat artikulasi yang sesuai untuk vokal.

Berkenaan dengan subjek ini, kita tahu bahawa antara kemahiran penting seseorang jurujual adalah artikulasi. Tanpa penjelasan yang tepat, terang dan yang boleh memberi bakal pembeli gambaran yang betul mengenai produk atau servis, semua usaha mereka adalah sia-sia.

Tugas kita sama juga seperti jurujual tersebut, kita “menjual” informasi dan penerangan kepada penonton dan berharap agar mereka “membeli” apa yang ditawarkan oleh kita. Ini yang membolehkan kita mendapatkan perhatian mereka di segmen-segmen, dan seterusnya, episod-episod yang akan datang.

Dalam usaha memaksa masuk banyak fakta dan mesej, kita kadang-kadang boleh mengelirukan penonton. Dan disebabkan kita mempunyai jangkamasa terhad dan pada masa yang sama perlu memberi penerangan yang sesuai, kita boleh singkirkan perkara-perkara yang kurang penting. Kita terpaksa korban beberapa maklumat – asalkan penyampaian kita cukup untuk memberi penerangan mengenai apa yang berlaku di skrin dan latar belakangnya.

Gaya

Ya, gaya, mutu, keunggulan – kata slogan iklan produk-produk Dunhill zaman 80an. "Gaya" disini merujuk kepada “suara” yang telah pun kita bincangkan di bahagian sebelum ini. “Gaya” dalam penulisan untuk bacaan adalah lebih visual dalam cara penyampaian dan selalunya ia ditulis dengan cara unik, yang menjadi “prosa tandatangan” (signature prose) yang membolehkan kita mengecam siapa penulisnya.

Dalam skrip dokumentari dan rancangan majalah pula, "gaya" ini merujuk kepada tema keseluruhan projek tersebut. Bagi rancangan Skup Jurnalis, saya bernasib  baik kerana dapat mengekalkan cara penulisan seperti berita kerana ianya adalah secara terus menerus berkenaan dengan kewartawanan penyiasatan.

Jika anda menulis untuk rancangan bertemakan sains, maka gaya yang ditampilkan bolehlah bercorak teknikal dan “suara” yang perlu didengar oleh penonton adalah lebih kepada seorang pakar teknikal atau ahli sains – mungkin dingin dan tidak beremosi, dengan perkataan-perkataan yang bersifat sedemikian – tetapi ingat, penonton yang penting di mana-mana produksi. Jika kebanyakan penonton sasaran adalah mereka yang terlibat dalam bidang sains atau minat sains, maka bolehlah kita gunakan penyampaian yang lebih memenuhi “citarasa” mereka.

Dalam sastera, “gaya” juga merujuk kepada suara yang didengar oleh pembaca ketika mereka mengamati tulisan pengarang tersebut. Ada yang menggunakan bahasa berbunga-bunga, dengan ayat yang panjang lebar. Ada pula (yang dipopularkan oleh penulis Amerika Syarikat, Ernest Hemingway) yang menggunakan ayat-ayat yang pendek, dan padat.

Pemahaman

Ya, semuanya bermuara kepada pemahaman penonton – mereka perlu menerima dengan senang apa yang kita sampaikan di skrin melalui skrip, dan skrip yang ditulis samada untuk hos rancangan dan terutamanya untuk suara latar perlulah mampu menarik perhatian penonton dan membuat mereka mahukan lebih. Mereka akan cukup tertarik untuk menuntun episod yang akan datang. - RKP

Bahagian 21: Semakan ARMS dan CUPS

Bahagian 23: 7 Jenis Penulisan Berguna


Comments

Popular Posts