Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 23
7 Jenis Penulisan Berguna Untuk Skrip Majalah
- 1
7 jenis penulisan ini saya ambil daripada
panduan disini
yang bertujuan untuk penulisan rencana dan lain-lain, tetapi saya ingin gunakan
apa yang berfaedah daripada teknik ini untuk penulisan skrip dokumentari atau
program majalah. Ketika saya menulis skrip untuk Skup Jurnalis,
perkara yang paling membantu saya adalah pengalaman menulis berita dan rencana
ketika bekerja untuk majalah-majalah fizikal dan portal atas talian.
Walaupun panduan yang diberi dalam pautan
tersebut lebih sesuai untuk sekolah dan rencana suratkhabar, penggunaannya tidak
lari daripada teknik-teknik yang boleh kita gunakan untuk penulisan dokumentari
dan majalah. Mari kita lihat jenis-jenis penulisan tersebut.
Naratif
Lazimnya penulisan secara naratif adalah
untuk menceritakan kisah berdasarkan pengalaman penulis tersebut. Untuk dokumentari
dan program majalah, pengalaman di sini merujuk kepada pengetahuan yang disimpan,
penggunaan pengetahuan tersebut, dan aplikasinya dalam hidup sendiri.
Jika subjek yang dibincangkan dalam
program tersebut mempunyai ciri-ciri atau latar belakang yang bertindih - jika
tidak sama - dengan pengalaman kita, atau pengetahuan yang kita sedia ada, maka
gunakanlah cara bercerita, naratif, ketika menulis.
Selalunya, jika maklumat yang dipetik adalah daripada kaji selidik, cara tulisannya akan nampak kering, tidak berwarna. Penulisan yang diambil daripada pengalaman sendiri adalah seperti anekdot – kisah ringkas tentang sesuatu kejadian. Ianya tidak akan nampak teknikal dan tegar, dan penonton akan lebih tertarik.... sejak zaman purba kita suka mendengar cerita orang lain, kan?
Deskriptif
Panduan tersebut menggunakan unsur ini
untuk penulisan esei yang berdeskriptif – penuh berwarna, penuh bercorak – bagi
sesiapa yang tidak dapat melihat, tetapi dapat mendengar dan menggambarkan apa
yang sedang di bincang. Penulisan seperti ini amat popular di radio, ketika
zaman drama dan rencana-rencana di mana penyampai (ini zaman pra-DJ) akan memberi
gambaran keadaan, dan situasi untuk memulakan sesuatu drama.
Ini lebih dapat dilihat melalui ketika penyampai
tersebut membuat eksposisisi (penerangan mengenai senario, latar belakang sebelum
sesuatu adegan bermula). Kita gunakan teknik ini ketika kita menyambung apa
yang dibawa oleh watak – dan dalam dokumentari, oleh subjek yang di temu ramah.
Mungkin ada tempat dalam perbualan tersebut di mana mereka terlepas beberapa fakta penting, atau
mereka memberi sesuatu maklumat yang memerlukan lebih penerangan.
Jika bukan selepas, kita boleh menyediakan penonton dengan maklumat yang berkaitan sebelum kita masuk ke perkongsian oleh subjek. Ini adalah agar penonton dapat memahami perkongsian subjek dengan lebih mudah kerana kini kita sudah mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara yang lebih kompleks yang bakal dikongsi oleh subjek wawancara.
Ekspositori
Seperti yang dinyatakan di portal tersebut,
penulisan ekspositori mengemukakan fakta dahulu. Ekspositori sendiri bermaksud
penerangan yang jelas dan terperinci. Kesemua yang disampaikan mestilah berdasarkan
bukti fakta semata-mata, bukannya berdasarkan pendapat (yang akan kita bincangkan kemudian).
Penulisan berunsur ekspositori menunjukan
bahawa episod tersebut telah melalui proses kaji selidik yang mendalam dan bukanlah spekulatif.
Ianya berbalik kepada 5WH yang disebutkan dalam bahagian awal blog ini (Why,
What, When, Where, How – kenapa, apa, bila, mana, bagaimana).
Kesemua (atau hampir kesemua) soalan tersebut
perlu dijawab ketika penyampaian eksposisi, terutamanya apabila visual menunjukan sesuatu
bukti, atau kita mendengar kenyataan melalui wawancara.
n -----
Ketiga-tiga unsur ini adalah lebih kepada maklumat-maklumat,
data, anekdot yang menguatkan lagi temu ramah yang di buat, yang memberi kredibiliti
kepada kenyataan mereka dan juga untuk episod tersebut secara keseluruhan.
Kita sambung pada bahagian seterusnya
untuk melihat isu “persuasif” (memujuk), “perbandingan dan pembezaan”,
penulisan “reflektif”, dan juga
pendekatan “personal”. - RKP
Bahagian 22: Sintaksis, artikulasi dan gaya
Bahagian 24: Persuasif,perbandingan dan pembezaan, reflektif dan personal
Comments
Post a Comment