Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 24
4. Persuasif
Jika diterjemahi secara langsung, perkataan “persuasive” bermaksud “pemujukan” dan ianya adalah
matlamat utama semua jenis penulisan. Walaupun kita menyampaikan fakta dengan
bukti-bukti yang terserlah, dibantu dengan sokongan kaji selidik yang agak
menyeluruh, kita juga perlu memasukkan pendapat dan pandangan mengenai “kes”
yang dibincangkan.
Memang ianya
perlu disokong melalui wawancara dengan personaliti-personaliti yang terlibat
dan yang sesuai, tetapi dalam skrip suara latar, kita perlu menambah-sokong
penerangan tersebut dengan penggunaan bahasa seperti, katakan, seorang peguam
bela. Kita akan melihat dengan lebih mendalam cara penulisan ini di bahagian
akan datang.
5. Perbandingan
dan pembezaan
Biasanya,
perbandingan dan perbezaan tidak perlu jika kita berbincang hanya satu subjek
sahaja. Jika kita sudah berusaha kuat melakar tulisan “persuasif”, kenapa pula
kita buat perbandingan dan mahu menyatakan perbezaan? Kan?
Namun, teknik
inilah yang paling membantu saya dalam arus jalan skrip, sebab kadang-kadang
kita terpaksa melompat dari satu perkara ke benda yang mungkin tidak kena
mengena dengan satu sama lain – ini berlaku ketika kita mempunyai dua klip
wawancara yang lain perbincangan - tetapi subjek yang sama. Oleh itu, kita
perlu sambungkannya dengan visual yang sesuai yang menyokong perbualan sebelum,
dan, kemudiannya menulis perbincangan yang akan
membawa kepada perbualan lalu menghubungkan wawancara seterusnya.
Tetapi ingat,
tema untuk episod atau keseluruhan dokumentari adalah satu, jadi semestinya
kita sudah mempunyai satu faktor (tema tersebut) yang boleh menyatukan dua
topik yang mungkin berbeza. Ini akan membantu anda menghubungkan idea dengan
cara yang logik, dan memberi jalan untuk penulisan itu mengikut arus yang
betul.
6. Reflektif
Seperti penulisan
jenis ekspositori, penulisan reflektif juga adalah mengenai sokongan idea atau
subjek dengan fakta-fakta dan bukti. Cuma, reflektif (dari perkataan bahasa
Inggeris, “reflective” yang bermaksud “berfikir dengan teliti dan senyap”)
adalah lebih kepada renungan tentang subjek tersebut.
Renungan ini
membolehkan juga kita membincang sedikit kesan-kesan, akibat kejadian yang
berlaku dalam subjek yang dibincangkan untuk masa akan datang, kepada mereka
yang terlibat. Ianya boleh berbentuk spekulasi, tetapi juga perlu disokong
dengan pendapat profesional terutamanya jika kita sudah meliputinya dalam
wawancara.
7. Peribadi
(Personal)
Penulisan disini adalah lebih kepada dokumentari yang didukung oleh pembuat filem itu sendiri. Contoh yang paling terserlah adalah Michael Moore, di mana dokumentari-dokumentari yang diarah dan ditulis olehnya, yang bertemakan kritikan terhadap kerajaan dan korporat itu, penuh dengan pendapat dan pandangan sinisnya.
Dalam program majalah, kita elakkan tulisan cara ini kerana kita mungkin sudah cukup dengan pendapat dan pandangan yang kita terima daripada tetamu rancangan tersebut. Kita cuma meneguhkan pendapat tersebut dengan fakta-fakta atau bukti-bukti jika ada.
Malangnya,
penulisan jenis personal inilah yang banyak membina dan membinasakan ramai
penulis dan pembikin filem di seluruh dunia. Jadi, perlulah kita berhati-hati
dalam hal ini, terutamanya jika ada pihak yang mempunyai kepentingan (stake)
dalam rancangan atau filem tersebut. Ya, kita kena “kowtow” kepada keinginan
mereka... tetapi sebelum menandatangani perjanjian dengan mereka, kita harus
mengetahui agenda mereka (politik? Kewangan?) dan samada boleh tak kita
mengimbangkan kehendak mereka dengan pendirian bebas dan berkecuali kita
sendiri (boleh di bincangkan dengan mendalam pada masa akan datang).
Pendangan dan pendapat sendiri boleh diselitkan dalam program majalah, tetapi ianya adalah bergantung kepada kebijaksanaan anda, dengan menggunakan cara yang subtle, iaitu pendekatan halus. Untuk mereka yang dapat baca mesej itu, bagus... jika tidak, kita masih ada banyak perkara yang telah dikongsi dan dibincang dalam rancangan tersebut yang masih lagi berguna dan masih relevan kepada subjek yang dibincangkan. - RKP
Bahagian 23: Naratif, deskriptif dan Ekspositori
Bahagian 25: Pengendalian Bahasa 1
Comments
Post a Comment