Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV - 9


Kaji Selidik 2

Semua wartawan-wartawan tahu perkara ini, sebelum sidang media atau sesi temu ramah, mereka akan menyediakan soalan-soalan yang akan ditujukan kepada sesiapa yang di temu ramah atau yang mengambil soalan di sesi-sesi umum tersebut.

Penyediaan

Kita telah lihat kaji selidik di bab lepas, dan ianya adalah kaji selidik tahap awal. Aktiviti ini tidak akan berakhir, sehingga hari berlakunya penggambaran dan sebelum rakaman suara latar, seorang penulis skrip akan terus melakukan kaji selidik baru jika diperlukan.

Ketika penggambaran, tetamu yang diwawancara akan memberi penerangan baru tentang isu-isu yang dikemukakan pada episod tersebut. Dan fakta-fakta yang dikemukakan memerlukan bahan audio visual sebagai bukti.

Setelah kita sudah tahu siapakah yang akan muncul untuk dokumentari atau rancangan majalah, kita perlu sediakan soalan-soalan yang berkaitan. Kita sudah tahu siapakah yang akan ditemu ramah, dan kita perlu dapatkan maklumat latar belakang individu tersebut.

Selalunya, mereka yang bersetuju untuk hadir untuk diwawancara akan meminta senarai soalan-soalan yang bakal ditanya. Ini tidak digalakkan, kerana mereka tidak akan kelihatan spontan ketika rakaman dilakukan.

Memahami tetamu/personaliti ditemu ramah

Jawapan yang spontan, “spur of the moment”, dan mendadak akan lebih menarik minat penonton.  Tetamu akan kelihatan berfikir secara mendalam, dan memberi respons mereka dengan berhati-hati, dan jika mereka terlibat secara peribadi, samada dengan subjek tersebut atau secara emosi, maka kita boleh mengharapkan respons yang lebih teruja, gembira, atau resah. Ini akan mencetuskan penglibatan emosi daripada pihak penonton.

Pada masa yang sama, kita perlu menyediakan tetamu kita dengan subjek yang akan dibincangkan dengannya. Kita perlu mengetahui latar belakang dan bidang-bidang yang diceburi oleh mereka. Dengan ini, kita boleh menghadkan soalan-soalan kita kepada kawasan, atau bidang kuasa mereka (bagi pegawai-pegawai kerajaan seperti polis).

Dengan soalan yang berdasarkan latar belakang mereka, kita boleh mengelakkan keadaan yang janggal, yang tidak selesa ketika berlaku penggambaran. Kita pernah mendengar mengenai banyak rancangan-rancangan bual bicara dan lain-lain di mana tetamu episod keluar dengan tiba-tiba ketika masih dalam penggambaran.  

Senarai Soalan

Sediakan senarai soalan yang berstruktur. Ianya boleh bermula dengan persoalan mengenai maklumat-maklumat mengenai personaliti tersebut. Jangan terlalu peribadi, terutamanya jika mereka pernah mengalami apa-apa pengalaman yang tidak bersesuaian dengan subjek rancangan tersebut. Mereka boleh hilang minat dan tidak mahu membaca soalan-soalan berikutnya.

Kemudian, mulakan dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan episod tersebut dan pandangan atau penjelasan mereka daripada sudut pandangan latar belakang mereka.

Sebagai contoh. Untuk Skandal Watergate, kita semestinya susah untuk mendapatkan Bob Woodward dan Carl Bernstein, wartawan yang membongkar isu tersebut yang kini dalam umur 70an, dan tinggal di Amerika Syarikat.

Jadi, kita hanya dapat berbincang isu tersebut dengan wartawan tempatan, dan antara soalan yang dikemukakan adalah lebih tertumpu kepada kaedah-kaedah yang digunakan oleh wartawan tersebut ketika beliau sendiri melakukan penyiasatan untuk surat khabar mereka di negara kita.

Dari situ, kita juga boleh mendapatkan pengalaman mereka sendiri, dan kes-kes yang mereka terlibat. Ini akan mengayakan lagi kandungan episod tersebut dan menguatkan lagi penglibatan penonton-penonton tempatan.

Jadi, persediaan adalah penting. Tidak kisah siapa yang menyediakan soalan-soalan dan membuat kaji selidik. Ianya adalah amat penting dan membantu memantapkan lagi skrip anda – RKP 29/11/21

Bahagian 8: Menggunakan Filler

Bahagian 10: Penggunaan VO

 

 

 

 

 

 

Comments

Popular Posts