Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV – 6
Mengenali dan
Memahami Penonton
Satu masalah besar
pembikin filem, samada fiksyen atau dokumentari, mahupun program majalah adalah
untuk mengetahui apakah yang diinginkan oleh penonton. Ini adalah misteri yang tidak
boleh dijawab dengan sepenuhnya.
Jika seseorang
penulis atau penerbit mempunyai 100% keyakinan mengenai siapakah penonton atau pembaca mereka,
lebih-lebih lagi statistik mengenai saiz dan kategori – mereka menipu. Kita
boleh sasarkan sekumpulan penonton, dari segi penganggaran mengenai minat
keseluruhan dalam subjek yang ingin kita persembahkan - tetapi selebihnya akan bertambah, atau berubah mengikut masa dan keadaan.
Bayangkan dahulu
Tatkala kita
melakar cadangan untuk dipertimbangkan oleh pihak stesen atau lain-lain pembiaya
projek, kita sudah mendapat gambaran siapakah yang akan mendapat faedah daripada
rancangan yang akan kita persembahkan. Kita juga dapat bayangkan sifat-sifat
penonton yang akan terkagum dengan penyampaian kita dan kita mahu menyuap
mereka dengan persembahan yang terbaik, dan cukup boleh “mengenyangkan” mereka.
Tetapi, kita juta
perlu tahu bahawa antara mereka terdapat ramai yang langsung tidak tahu tentang
apa yang perlu difahami dulu mengenai subjek yang akan dibincangkan dalam
episod tersebut. Oleh itu, ianya adalah
tugas kita untuk memberi pengenalan yang sesuai, dan yang tidak “menghina”
kepandaian mereka (insult the intelligence). Penonton selalunya tidak
suka disuap maklumat seperti kanak-kanak, mereka mahu dilayan seperti dewasa
dan menerima maklumat yang boleh di hadam tanpa apa-apa halangan, penapis dan
penolakan.
Perhubungan dengan penonton
Ketika saya
menulis, saya selalu menganggap penonton (atau pembaca bergantung kepada
platform) ada di hadapan saya dan saya sedang menceritakan kisah saya secara
lisan kepada mereka... ini menyenangkan proses untuk mengetahui apakah yang
mahu mereka mendengar (membaca atau melihat).
Saya juga
bayangkan penulis lain, atau sesiapa yang pernah baca tulisan saya dan ada meminati
mungkin satu atau dua tulisan saya. Disebabkan
saya tahu kenalan ini, maka saya dapat juga mengagak apa yang mereka suka
dengar dan apa yang perlu saya elak dalam perkongisan tersebut. Kita boleh menunjukkan apa yang ditulis kepada ahli keluarga dan rakan kita untuk mendapatkan komen-komen daripada mereka.
Oleh itu, skrip
untuk suara latar terutamanya perlukan satu bentuk keintiman dalam
penyampaiannya supaya penonton bukan sahaja memahami apa yang kita hendak
sampaikan, tetapi juga menerima maklumat-maklumat yang kita hendak sampaikan
pada mulanya, sehingga mempercayai kandungan-kandungan yang akan datang dengan kepercayaan yang sudah pun dibina (pre-built trust)
Namun, penonton
yang paling penting disini adalah diri kita sendiri. Disinilah kita boleh
menyelitkan semangat (passion) kita, rasa dekat kita, yang terikat dengan subjek yang
ingin kita bincangkan. Jika sebagai penonton atau pembaca, kita perlu menghakimi hasil
penulisan kita secara tulus, ikhlas dan tidak menipu diri sendiri.
Kesemua ini perlu
kita bawa bersama kita setiap kali kerja kita menulis. Disitulah ianya bermula,
untuk mereka, dan disitulah ianya berakhir, memuaskan hati mereka.
Perkara yang perlu dibawa balik dari artikel in
- Penonton bukanlah kurang pandai.
- Penonton memerlukan kita untuk maklumat, dan kita memerlukan penonton untuk mendengar apa yang kita hendak sampaikan. Perlu, bukan ingin.
- Diri kita sendirilah penonton pertama.
Comments
Post a Comment