Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 34

Dokumentari Expositori: Propaganda Dan Politik



Dokumentari propaganda - Politik

Rancangan majalah dan dokumentari semuanya mempunyai tujuan untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, memberi inspirasi dan, sedikit sebanyak, pendidikan. Filem menjadi platform terbaru, satu puncak teknologi di abad lepas dan ianya tidak terlepas daripada tujuan kepentingan diri pihak-pihak tertentu, selain daripada untuk kegunaan hiburan dan pendidikan.

Filem-filem propaganda politik dari sejarah

Mari kita faham dahulu istilah “propaganda”, yang saya petik daripada portal Dewan Bahasa Pustaka: “...1. penerangan atau penyiaran (ideologi, faham, pendapat dll), ideologi atau pendapat yg dihebahkan utk mempengaruhi orang ramai, diayah: pemberontak komunis telah memperhebat kempen-kempen ~ mereka di Saigon; 2. = berpropaganda menerang­kan pendapat (ideologi, fahaman dll) dgn tujuan utk mendapat sokongan drpd orang ramai: tujuan perundingan itu hanyalah utk melengah-lengahkan masa atau utk ~; 3. bp iklan barang dagangan dll;...”


Sekarang, kita melihat contoh beberapa dokumentari daripada zaman silam dan sekarang yang berbentuk propaganda dan juga telah berjaya dalam beberapa aspek dan dikatakan antara yang paling berpengaruh dalam sejarah perfileman.

Salah satu filem dokumentari yang terkenal, mungkin dikatakan seolah-olah  menjadi template, atau contoh pembikinan filem dokumentari berbau propaganda di seluruh dunia adalah adalah Triumph Of The Will, arahan Leni Riefenstahl, atau nama asalnya dalam bahasa Jerman, Triumph des Willens, yang keluar pada tahun 1935.

Ianya adalah mengenai “konvensyen Parti Nazi 1934 di Nürnberg yang menekankan perpaduan parti, memperkenalkan pemimpin kepada rakyat Jerman, dan mempamerkan kuasa Nazi kepada dunia”;  pengarahnya juga merakam acara Olimpik tahun 1938 di negara tersebut (Olympia) dengan tujuan yang tidak lari daripada filem ini.

Ya, kita faham sekarang betapa zalimnya parti Nazi tersebut, yang diketuai oleh seorang diktator, pemimpin kuku besi, Adolph Hitler. Malah, ianya telah digelar satu masterpiece iaitu karya agung oleh ahli-ahli sejarah dan mereka dalam bidang perhubungan awam (Public Relations)kerana ia menjadi satu contoh besar di mana propaganda boleh melalui penggunaan platform-platform seperti filem untuk mempengaruhi minda rakyat (atau konsumer, dari segi perniagaan).

Triumph Of The Will, telah digunakan untuk menyatukan keseluruhan rakyat Jerman (kecuali masyarakat Yahudi) dengan satu mesej daripada Hitler yang juga adalah penerbit eksekutif dokumentari tersebut.

“...dokumentari dibaca berdasarkan cara penonton melihat peristiwa di skrin,” kata James Cullen, pengkritik filem di portal Film Magazine. “Hitler digambarkan sebagai seolah-olah Tuhan dan adalah penyelamat rakyat Jerman berikutan kemusnahan yang dirasai negara itu selepas Perang Dunia Pertama. Lautan peminat yang memuja menyambut Hitler dari pesawat peribadinya menunjukkan kepadanya memberi gambaran imej yang positif dan (Hitler) terus memulakan tugasnya membawa penonton ke arus simpati dan juga (mulanya) pemujaan (Hitler)...”

Mesej yang berlainan pula boleh dilihat dalam dokumentari Listen To Britain (1942) oleh  Humphrey


Jennings and Stewart McAllister. Filem ini digunakan untuk meraih sokongan daripada rakyat Britain untuk bersama dengan kerajaan ketika berlakunya Perang Dunia Kedua, dan menunjukkan keadaan negara tersebut yang seakan-akan tidak terjejas daripada kemelut yang sedang berlaku.

Filem tersebut berfungsi sebagai pemberi semangat dan juga filem penerangan awam mengenai apa yang sedang berlaku walaupun tidak memberi gambaran sebenar waktu itu. Rakyat Britain lebih terjejas daripada Amerika Syarikat ketika itu, dan amat memerlukan kekuatan semangat untuk melalui perang yang telah memusnahkan beberapa bangunan dan membunuh ramai orang awam di London.  

Begitu juga dengan filem Three Songs about Lenin (Dziga Vertov, 1934), yang diterbitkan di Rusia. Kita boleh melihat satu corak disini dimana pemimpin Rusia, Vladimir Lenin  pula, seperti Hitler, diagung-agungkan dan ideologinya diberi tumpuan penuh, terutamanya dalam konteks pemerintahan negara tersebut yang sudah beralih daripada kerajaan bawah naungan Raja kepada pemerintahan berfahaman komunis

Gaya penulisan

Filem-filem ini mendapat perhatian dunia ketika itu tetapi tidak lagi mempunyai kesan yang sama sekarang. Biasanya filem-filem ini lebih bergantung kepada visual untuk mendapatkan impak yang diingini daripada penonton.

Penulisan hanya digunakan untuk merangka jalan cerita dokumentari dan ketika perlunya suara latar untuk menerangkan apa yang berlaku. Filem-filem yang disebut di atas kesemuanya adalah kontemporari pada masa masing-masing, jadi tidak banyak penerangan diperlukan dari segi sejarah dan latar belakangnya.

Namun, suara latar adalah penting jika penonton memerlukan satu guide, pemandu untuk memberi penerangan penuh kepada apa yang sedang berlaku, dan latar belakang personaliti-personaliti terlibat, insiden-insiden atau lokasi-lokasi yang tertera dalam dokumentari tersebut.

Dan dokumentari propaganda politik amat-amat bergantung kepada suara latar yang menggunakan perkataan-perkataan dan frasa-frasa yang mempunyai kekuatan tersendiri, yang boleh menarik perhatian penonton dengan segera serta sehingga “memukau” mereka sehinggakan mereka percaya keseluruhan persembahan di filem tersebut.

Pada zaman sekarang (dalam konteks lewat abad 20 sehingga hari ini) filem-filem propaganda berbau politik tidak banyak dikeluarkan melainkan waktu pilihanraya apabila ianya di buat dengan niat jelas untuk menyokong seseorang calon atau parti politik. Kita juga diberitahu bahawa filem tersebut telah dibiayai oleh pihak yang mempunyai kepentingan atas filem tersebut – jadi kita tak payah nak melenting dan mengkritik filem-filem kempen ini dan melabelkannya sebagai prejudis.

Di negara kita pula, untuk filem dokumentari yang bebas (independent) kita perlua berhati-hati kerana kita ada isu politik, dan, isu yang dipolitikkan. Perkara kedua inilah yang selalunya menyebabkan ramai pembikin filem dokumentari di negara kita menghadapi masalah.

Satu contoh terkenal adalah filem arahan Amir Muhammad, Lelaki Komunis Terakhir (2006) yang telah diharamkan tayangannya di negara kita (atas tekanan daripada sesetengah pihak, setelah menteri penerangan pada masa itu memberi kebenaran pada awal untuk penyiarannya).


Oleh itu, ianya bergantung kepada kandungan dan “iklim” politik negara. Filem Amir mendapat sambutan baik di luar negara, tetapi tidak dapat ditayangkan pada masa tersebut di pawagam-pawagam dalam negara. Sebagai penulis berpengalaman yang sudah lama dalam bidang media, dan sebagai seorang pengkritik budaya dan politik, Amir semestinya faham senario negara dan mungkin sudah menjangkakan reaksi seperti itu.

Jadi, ini terpulang kepada pembikin filem dokumentari yang akan datang, samada mereka sanggup bergolak, berjuang untuk mendapatkan filem mereka di tayangkan di negara kita dengan mengetahui kesensitifan sesuatu isu-isu dan bagaimana ada pula pihak-pihak yang akan menghalang penyiaran filem tersebut atas tujuan tertentu atau dengan agenda-agenda tersendiri.

Dengan tidak adanya sempadan untuk karya-karya melalui platform atas talian, kita sebagai penulis boleh menghasilkan tulisan-tulisan yang hebat, yang mampu sampai kepada sasaran dan menyuntik kesedaran dan pengetahuan yang kita mahukan untuk mereka. Tetapi ini bukan pelayaran yang mudah dengan ribut dan lautan bergelora yang boleh muncul dalam bentuk protes, larangan, dan reaksi sesetengah puak yang cepat melenting – dan jika pengkarya seperti Amir Muhammad masih lagi boleh menghasilkan filem-filem yang provokatif dan matang, maka kita pun boleh berusaha seperti beliau.

Bahagian 31: Penggunaan bahasa neutral

Comments

Popular Posts