Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV 31

Penggunaan Bahasa Neutral


Nota: Perbincangan di sini adalah berkitar dokumentari atau program majalah yang tidak berteraskan satu ideologi, satu kepercayaan atau bersifat propaganda serta yang merupakan juga alat kempen untuk agenda seseorang atau sesuatu organisasi. Bukan ianya salah, malah ia amat berguna untuk perkara yang baik niatnya atau untuk personaliti yang dihormati dan yang banyak menyumbang. Kita boleh bincang cara penulisan berbentuk propaganda yang boleh diterima ramai kelak. Nota berakhir

-x-

Antara laman web yang paling berguna ketika ini adalah Wikipedia, yang mengandungi pelbagai jenis maklumat seperti Buku Ensiklopedia tetapi dengan satu perbezaan besar: Maklumatnya datang daripada pengguna dan ianya boleh ditukar atau ditambah.

Walaupun pada mulanya ia tidak terkawal, sekarang Wikipedia telah meletakkan panduan memuat masuk maklumat yang sahih, dan disokong dengan bukti-bukti. Paling penting, ianya adalah neutral. Kandungannya tidak menyebelahi kepentingan mana-mana pihak, dan jika didapati bersifat demikian  ianya tidak akan diterima oleh pihak wiki.

Memasukan pandangan yang berlainan

Sesuatu insiden yang telah berlaku tidak semestinya mempunyai satu sahaja cerita, malah tentu ada pelbagai teori-teori bagaimana ia berlaku, siapa yang terlibat dan berbilang pendapat yang mungkin boleh bercanggah.

Ini perlu dijelaskan dalam skrip kita bahawa perbezaan atau penyangkalan boleh wujud dan dapat dihuraikan dengan jelas dan ringkas. Dalam kerja saya untuk Program Majalah Skup Jurnalis, untuk episod berkenaan dengan Nixon, saya ada menyentuh sedikit mengenai insiden pembunuhan Presiden John F. Kennedy. Memang kini sudah dapat pelbagai teori mengenai siapakah yang menyebabkan kematian bekas pemimpin itu. Dalam kebanyakan perbincangan teori-teori berbau konspirasi, nama Presiden Nixon juga terbangkit tetapi saya juga memberitahu penuntun bahawa ianya selalu di nafikan – Nixon sudah mempunyai bilangan kesalahan yang cukup padah, mengaitkannya dengan pembunuhan Kennedy tidak menambah kepada imejnya yang memang sudah tercemar.

Berkecuali tetapi elakkan generalisasi

Kita memang mahu bersifat neutral, berkecuali, dalam penyampaian kita tetapi dalam sibuk menulis dengan semangat, kita mungkin akan cenderung untuk bersandar kepada satu pandangan sahaja. Dan selalunya kita hanya menyatakan fakta-fakta atau pendapat-pendapat yang umum... terlalu fokus aras permukaan sahaja.

Generalisasi selalu berlaku apabila kita tidak mempunyai isi kandungan yang kuat, yang mempunyai bukti-bukti konkrit dan contoh-contoh yang sesuai. Ianya tidak memadai untuk kegunaan penyampaian sesuatu mesej yang penting. Begitu juga tatkala kita berkeinginan untuk bersifat neutral atau berkecuali tetapi tidak berkecukupan maklumat dan bukti-bukti yang menampakkan lain-lain dimensi sesuatu insiden atau personaliti.

Pendapat bukanlah fakta

Fakta boleh dibuktikan samada ianya adalah betul atau tidak, tetapi kita tidak boleh menyatakan bahawa sesuatu pendapat itu adalah salah. Ianya hanyalah pandangan seseorang. Dalam program kita, kita akan melihat pelbagai pandangan daripada tetamu-tetamu atau personaliti yang pakar dalam bidang-bidang berkenaan. Namun, ianya masih adalah pandangan sahaja. Jika ianya boleh disokong dengan bukti, kita sertakan kenyataan mengenai bukti tersebut dalam skrip kita. Jika terdapat pandangan yang bercanggah yang pernah di luahkan oleh lain-lain personaliti (dan jika kita boleh dapatkan rakamannya) kita kena sertakan kenyataan tersebut.

Lebih tekanan kepada positif.

Ya, kalau terlalu negatif kita akan masuk ke masalah yang disebut di atas, berkenaan agenda dan propaganda. Jika kita mahu neutral, kita perlu beri tekanan kepada aspek positif sesuatu subjek atau personaliti.

Positif disini merujuk kepada pemberian kesimpulan yang lebih optimistik. Perbincangan mengenai kes-kes yang telah pun di selesai memberi harapan kepada penonton dan akan menarik mereka masuk untuk menonton episod-episod seterusnya. Jika ianya adalah misteri atau terbuka, ia boleh mematikan minat sesetengah dari mereka. Selalunya, dari filem atau dokumentari, mereka mahukan permulaan, pertengahan dan pengakhiran yang mengikat hujung yang longgar (maaf saya terjemaah dari simpulan bahasa Bahasa Inggeris “tying up loose ends” yang bermaksud penyelesaian yang lengkap).

Dan, benda-benda “agenda dan propaganda” itu terpulang kepada pembikin filem itu sendiri, samada tekanan hendak diberi kepada kekuatan subjek, atau bertumpu dalam serangan terhadap mana-mana personaliti, atau ideologi, dan sebagainya.

Untuk program majalah dimana kita benarkan tetamu untuk memberi pelbagai jenis pandangan yang boleh kita sunting dan jadikan sebagai perbincangan yang seimbang, janganlah kita tertumpu kepada negatif, kerana dalam tindakan tersebut kita mungkin akan manupulasi klip-klip kita untuk berbuat demikian dan juga memberi imej yang kurang menyenangkan sesetengah tetamu. Jangan sekali-sekala bermusuhan dengan mereka, kita perlukan mereka balik suatu hari, dan siapa tahu, mereka mungkin akan ke bidang lain atau naik pangkat dan boleh terus bekerjasama dengan projek-projek masa akan datang.


Comments

Popular Posts