Penulisan Skrip Program Majalah Untuk TV – 1
Apabila rakan pengarah saya, Kathir G. mendapat tahu tentang kelulusan cadangan kami untuk menerbit rancangan majalah yang menerokai jenayah yang mendapat liputan hebat dalam media, saya pun memulakan kerja kaji-selidik kes-kes yang telah menarik perhatian dunia, dan juga di tanah air kita.
Langkah Pertama – mengenal pasti kes-kes (Kandungan) yang menarik.
Rancangan tersebut, yang pada awalnya bertajuk Gempar (kemudian, tajuk tersebut ditolak oleh RTM, dan digantikan dengan Skup Jurnalis yang lebih tepat dengan sudut [angle] kandungan program), berfokus kepada kes-kes daripada seluruh dunia, dalam sejarah berita bercetak, terutamanya abad lepas dan sekarang, yang mendapat perhatian hangat daripada media. Biasanya, kes-kes tersebut disiasat sendiri oleh wartawan-wartawan, atau di liputi dengan mendalam oleh media-media waktu tersebut.
Antara kes yang paling sensasi, yang telah mengharumkan nama media dan membusukkan pula imej kerajaan, adalah Skandal Watergate yang berlaku pada awal tahun 70an. Bermula dengan insiden pemecahan masuk pejabat parti Demokrat, kes ini setelah dikorek secara mendalam, telah mendedahkan penglibatan ramai pegawai-pegawai atasan, yang seterusnya melibatkan pula ketua negara Amerika Syarikat – Presiden Richard Nixon.
Selain daripada itu, kes-kes lain termasuk kes pembunuhan yang tidak dapat diselesaikan selama lebih daripada tiga dekad, yang akhirnya berjaya dirungkai dengan bantuan bidang kewartawanan juga mendapat tumpuan dua episod.
Bagi catatan akan datang, saya berbincang tentang kes-kes yang ditolak, dan sebab-sebab ianya tidak diterima oleh RTM dan lain-lain lagi. - RKP 17/11/2021
Bahagian 2: Majalah dan dokumentari
Comments
Post a Comment